Surah 90 · 20 verses · Abdullah Muhammad Basmeih

Surah Al-Balad in Malay

In English with tafsir

بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ

90:1

لَآ أُقۡسِمُ بِهَٰذَا ٱلۡبَلَدِ

Aku bersumpah dengan negeri (Makkah) ini

90:2

وَأَنتَ حِلُّۢ بِهَٰذَا ٱلۡبَلَدِ

Sedang engkau (wahai Muhammad) tinggal di negeri ini (sentiasa ditindas)

90:3

وَوَالِدٍ وَمَا وَلَدَ

Demi manusia yang melahirkan zuriat, dan zuriat yang dilahirkannya

90:4

لَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَٰنَ فِي كَبَدٍ

Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya)

90:5

أَيَحۡسَبُ أَن لَّن يَقۡدِرَ عَلَيۡهِ أَحَدٌ

Patutkah manusia yang demikian keadaannya (terpedaya dengan kekuasaan yang ada padanya dan) menyangka bahawa tidak ada sesiapapun yang dapat mengatasi kekuasaannya (dan menyeksakannya)

90:6

يَقُولُ أَهۡلَكۡتُ مَالًا لُّبَدًا

Manusia yang demikian keadaannya (tidaklah patut ia bermegah-megah dengan kekayaannya dan) berkata: "Aku telah habiskan harta benda yang banyak (dalam usaha menegakkan nama dan bangsa)

90:7

أَيَحۡسَبُ أَن لَّمۡ يَرَهُۥٓ أَحَدٌ

Adakah ia menyangka bahawa tidak ada sesiapapun yang melihatnya (dan mengetahui tujuannya menghabiskan harta bendanya itu)

90:8

أَلَمۡ نَجۡعَل لَّهُۥ عَيۡنَيۡنِ

(Mengapa manusia terpedaya dan bermegah-megah?) Tidakkah Kami telah menjadikan baginya: dua mata (untuk ia memerhatikan kekuasaan dan kekayaan Kami)

90:9

وَلِسَانًا وَشَفَتَيۡنِ

Dan lidah serta dua bibir (untuk ia menyempurnakan sebahagian besar dari hajat-hajatnya)

90:10

وَهَدَيۡنَٰهُ ٱلنَّجۡدَيۡنِ

Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi)

90:11

فَلَا ٱقۡتَحَمَ ٱلۡعَقَبَةَ

Dalam pada itu manusia tidak (memilih jalan kebaikan) merempuh masuk mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan

90:12

وَمَآ أَدۡرَىٰكَ مَا ٱلۡعَقَبَةُ

Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui: apa dia amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan itu

90:13

فَكُّ رَقَبَةٍ

(Di antara amal-amal itu - bagi orang yang mampu) ialah: memerdekakan hamba abdi

90:14

أَوۡ إِطۡعَٰمٌ فِي يَوۡمٍ ذِي مَسۡغَبَةٍ

Atau memberi makan pada hari kelaparan

90:15

يَتِيمًا ذَا مَقۡرَبَةٍ

Kepada anak yatim dari kaum kerabat

90:16

أَوۡ مِسۡكِينًا ذَا مَتۡرَبَةٍ

Atau kepada orang miskin yang terlantar di atas tanah

90:17

ثُمَّ كَانَ مِنَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡمَرۡحَمَةِ

Selain dari (tidak mengerjakan amal-amal) itu, ia (tidak pula) menjadi dari orang-orang yang beriman dan berpesan-pesan dengan sabar serta berpesan-pesan dengan kasih sayang

90:18

أُوْلَٰٓئِكَ أَصۡحَٰبُ ٱلۡمَيۡمَنَةِ

(Ketahuilah! Bahawa orang-orang yang beriman serta berusaha mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan), merekalah golongan pihak kanan (yang akan beroleh Syurga)

90:19

وَٱلَّذِينَ كَفَرُواْ بِـَٔايَٰتِنَا هُمۡ أَصۡحَٰبُ ٱلۡمَشۡـَٔمَةِ

Dan (sebaliknya) orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Kami, merekalah golongan pihak kiri

90:20

عَلَيۡهِمۡ نَارٌ مُّؤۡصَدَةُۢ

Mereka ditimpakan (azab seksa) neraka yang ditutup rapat (supaya kuat bakarannya)

Translation: Abdullah Muhammad Basmeih.