Surah 85 · 22 verses · Abdullah Muhammad Basmeih

Surah Al-Buruj in Malay

In English with tafsir

بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ

85:1

وَٱلسَّمَآءِ ذَاتِ ٱلۡبُرُوجِ

Demi langit yang mempunyai tempat-tempat peredaran bintang-bintang

85:2

وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡمَوۡعُودِ

Dan hari (pembalasan) yang dijanjikan

85:3

وَشَاهِدٍ وَمَشۡهُودٍ

Dan makhluk-makhluk yang hadir menyaksikan hari itu, serta segala keadaan yang disaksikan

85:4

قُتِلَ أَصۡحَٰبُ ٱلۡأُخۡدُودِ

Celakalah kaum yang menggali parit

85:5

ٱلنَّارِ ذَاتِ ٱلۡوَقُودِ

(Parit) api yang penuh dengan bahan bakaran

85:6

إِذۡ هُمۡ عَلَيۡهَا قُعُودٌ

(Mereka dilaknat) ketika mereka duduk di kelilingnya

85:7

وَهُمۡ عَلَىٰ مَا يَفۡعَلُونَ بِٱلۡمُؤۡمِنِينَ شُهُودٌ

Sambil mereka melihat apa yang mereka lakukan kepada orang-orang yang beriman

85:8

وَمَا نَقَمُواْ مِنۡهُمۡ إِلَّآ أَن يُؤۡمِنُواْ بِٱللَّهِ ٱلۡعَزِيزِ ٱلۡحَمِيدِ

Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji

85:9

ٱلَّذِي لَهُۥ مُلۡكُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِۚ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٍ شَهِيدٌ

Tuhan yang menguasai segala alam langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah sentiasa menyaksikan tiap-tiap sesuatu

85:10

إِنَّ ٱلَّذِينَ فَتَنُواْ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ وَٱلۡمُؤۡمِنَٰتِ ثُمَّ لَمۡ يَتُوبُواْ فَلَهُمۡ عَذَابُ جَهَنَّمَ وَلَهُمۡ عَذَابُ ٱلۡحَرِيقِ

Sesungguhnya orang-orang yang menimpakan bencana untuk memesongkan orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab neraka Jahannam (kerana perbuatan buruk itu), dan mereka akan beroleh lagi azab api yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat)

85:11

إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ لَهُمۡ جَنَّٰتٌ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُۚ ذَٰلِكَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡكَبِيرُ

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; yang demikian itu ialah kemenangan yang besar

85:12

إِنَّ بَطۡشَ رَبِّكَ لَشَدِيدٌ

Sesungguhnya azab Tuhanmu (terhadap orang-orang yang kufur ingkar) amatlah berat

85:13

إِنَّهُۥ هُوَ يُبۡدِئُ وَيُعِيدُ

Sesungguhnya Dia lah yang menciptakan (sekalian makhluk) pada mulanya, dan yang mengembalikannya (hidup semula sesudah mati)

85:14

وَهُوَ ٱلۡغَفُورُ ٱلۡوَدُودُ

Dan Dia lah yang Maha Pengampun, lagi Maha Pengasih

85:15

ذُو ٱلۡعَرۡشِ ٱلۡمَجِيدُ

Tuhan yang mempunyai Arasy yang tinggi kemuliaannya

85:16

فَعَّالٌ لِّمَا يُرِيدُ

Yang berkuasa melakukan segala yang dikehendakinya

85:17

هَلۡ أَتَىٰكَ حَدِيثُ ٱلۡجُنُودِ

Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal (kebinasaan yang telah menimpa) kaum-kaum yang menentang (Rasul-rasul yang diutuskan kepada mereka)

85:18

فِرۡعَوۡنَ وَثَمُودَ

(Mereka itu ialah kaum) Firaun, dan Thamud (kaum Nabi Soleh)

85:19

بَلِ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ فِي تَكۡذِيبٍ

(Kaummu wahai Muhammad, bukan sahaja menolak ajaranmu), bahkan orang-orang yang kafir itu terus tenggelam dalam keadaan mendustakan kebenaran

85:20

وَٱللَّهُ مِن وَرَآئِهِم مُّحِيطُۢ

Sedang Allah, dari belakang mereka, melingkungi mereka (dengan kekuasaanNya)

85:21

بَلۡ هُوَ قُرۡءَانٌ مَّجِيدٌ

(Sebenarnya apa yang engkau sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir), bahkan ialah Al-Quran yang tertinggi kemuliaannya

85:22

فِي لَوۡحٍ مَّحۡفُوظِۭ

(Lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Lauh Mahfuz

Translation: Abdullah Muhammad Basmeih.